KAPAL kargo yang ditahan, sekali gus menggagalkan cubaan membawa masuk bijiran jagung dari Brazil. FOTO Ihsan MAQIS.
KAPAL kargo yang ditahan, sekali gus menggagalkan cubaan membawa masuk bijiran jagung dari Brazil. FOTO Ihsan MAQIS.
LIMA juta kg bijirin jagung dari Brazil. FOTO Ihsan MAQIS.
LIMA juta kg bijirin jagung dari Brazil. FOTO Ihsan MAQIS.
BERNAMA

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk lima juta kilogram bijirin jagung dari Brazil yang tidak mematuhi syarat import.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, bijirin jagung bernilai RM4 juta itu juga tiada Import Permit (IP) ketika diperiksa di pintu masuk Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), di Butterworth, semalam.

“Pihak MAQIS telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM50,000 setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya dan memberi peringatan kepada pengimport bijirin jagung itu supaya mematuhi syarat pengimportan yang telah ditetapkan,” katanya, hari ini.

Zarina berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen dan perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Seksyen ini memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya juga, MAQIS sentiasa komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi menjamin kualiti serta selamat untuk dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 2:28 PM