Sirih dan tembakau yang dirampas MAQIS semalam. FOTO Ihsan MAQIS
Sirih dan tembakau yang dirampas MAQIS semalam. FOTO Ihsan MAQIS
Hadzlihady Hassan


CUBAAN lelaki Indonesia membawa masuk 10 kilogram (kg) daun sirih ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang semalam.

Lelaki berusia 40-an itu tiba dari Medan pada 12 tengah hari sebelum ditahan penguat kuasa MAQIS yang menemui beberapa ikat daun sirih dalam bagasinya.

Difahamkan, daun sirih itu dibawa masuk ke negara ini untuk dijual dan mendapat permintaan dalam kalangan warga asing yang bekerja di negeri itu.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, sekiranya mahu membawa masuk daun sirih ke negara ini, ia memerlukan permit import yang dikeluarkan Jabatan MAQIS dan sijil fitosanitasi jabatan pertanian negara pengimport.

Menurutnya, lelaki yang ditahan itu bagaimanapun didapati tidak mempunyai sebarang dokumen untuk membawa masuk daun sirih berkenaan selain dia turut dikesan cuba membawa masuk 6.42 kg tembakau.

“Perbuatan mengimport produk hasilan pertanian tanpa permit sah adalah salah mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Zarina berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mengawal aktiviti import dan eksport serta memastikan biosekuriti dalam negara sentiasa selamat.

Katanya, tembakau yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 4:25 PM