MUHAMMAD Ikram Abd Talib mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kapal kargo pukal. FOTO ihsan MAQIS
MUHAMMAD Ikram Abd Talib mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kapal kargo pukal. FOTO ihsan MAQIS
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Cubaan pengimport membawa masuk biji gandum dari Australia bernilai lebih RM20 juta ke negara ini dipatahkan di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 2.30 petang, anggota penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menjalankan pemeriksaan di pelabuhan itu sebelum mendapati terdapat sebuah kapal kargo pukal membawa biji gandum.

Pengarah Maqis Pulau Pinang Muhammad Ikram Abd Talib berkata, pemeriksaan menemui lebih 14.1 juta kilogram biji gandum yang dianggarkan bernilai lebih RM20 juta dalam kapal berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati maklumat yang dikemukakan berbeza dan mengelirukan pada Permit Import Maqis yang sah.

"Berikutan itu, Maqis menahan kesemua dagangan berkenaan untuk tindakan lanjut kerana mengemukakan maklumat pengimportan yang tidak tepat.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 8:27 PM