JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 67 tan milet atau sekoi dari Ukraine ketika mengadakan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). FOTO Ihsan MAQIS
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 67 tan milet atau sekoi dari Ukraine ketika mengadakan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). FOTO Ihsan MAQIS
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Cubaan pengimport membawa masuk 67 tan milet atau sekoi (tanaman bijirin) dari Ukraine ke negara ini tidak berhasil apabila produk terbabit dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang ketika pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, petang semalam.

Dalam pemeriksaan 5.15 petang itu, terdapat tiga kontena membawa masuk produk pertanian itu sebelum siasatan mendapati ia tidak mematuhi syarat pada permit import ditetapkan.

Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan rutin dijalankan mendapati dalam kontena itu terdapat 3,120 guni berisi sekoi seberat 67,000 kilogram (kg) bernilai RM390,881.09.

"Siasatan mendapati ia dibawa masuk untuk dijadikan produk proses bagi makanan manusia serta dipasarkan di negara ini dan luar negara.

"Bagaimanapun, ia tidak mematuhi syarat pada permit import dan menyebabkan semua produk terbabit disita untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi syarat permit import Maqis adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 3:10 PM