Ekhwan Haque Fazlul Haque


KADAR tol Lebuh Raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan diturunkan 18 peratus tahun ini bagi mengurangkan beban sara hidup rakyat, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penurunan kadar tol itu akan membabitkan semua lebuh raya di bawah kendalian syarikat berkenaan.

Beliau berkata, penurunan kadar tol menyebabkan peningkatan aliran trafik namun kuasa beli dan nilai ringgit menurun termasuk perolehan PLUS berbanding perjanjian konsesi asal.

“Trafik akan meningkat tetapi nilai ringgit dan kuasa beli akan menurun. Apa yang mereka (PLUS) peroleh tidak banyak jika dibandingkan dengan perjanjian asal konsensi. Rakyat akan dapat manfaat jika ia kekal selama tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Ulang Tahun Ke-70 TNB, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan tidak menjual konsesi lebuh raya PLUS kerana syarikat itu akan terus dimiliki Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pelbagai faktor dikemukakan syarikat swasta yang berminat memiliki syarikat lebuh raya utama berkenaan.

“Kerajaan sudah mempertimbangkan semua faktor serta bidaan diterima dan membuat keputusan untuk tidak menjual PLUS tetapi akan terus kekal dimiliki Khazanah dan KWSP,” katanya.

Sebelum ini, lima syarikat berminat mengambil alih PLUS yang 51 peratus saham syarikat konsesi lebuh raya itu dimiliki Khazanah manakala baki dimiliki KWSP susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Konsesi PLUS merangkumi Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah

(ELITE).

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri berkata, perlantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dibuat kerana kerajaan memerlukan mereka yang berpengalaman bagi menguruskan unit berkenaan.

Katanya, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli memiliki pengalaman kerana kini kerajaan kekurangan mereka berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan di luar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan perlantikan Mustapa untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 3:13 PM