Raja Noraina Raja Rahim


SYARIKAT konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sedang memuktamadkan mekanisme pengurangan kadar tol bermula 1 Februari ini.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, ia bagi mengesahkan status Perjanjian Konsesi yang sedia ada serta mengambil kira kepentingan pemegang sukuk.

“PLUS akan terus komited memberikan perkhidmatan lebuh raya terbaik dan perjalanan yang selamat serta selesa dengan memanfaatkan inovasi untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PLUS menerima keputusan kerajaan mengekalkan syarikat di bawah pemegang saham Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebanyak 51 peratus saham PLUS dimiliki Khazanah manakala baki dimiliki KWSP dengan penawaran pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kadar tol PLUS akan diturunkan 18 peratus tahun ini bagi mengurangkan beban sara hidup rakyat.

Kedudukan kewangan PLUS juga dijangka tidak akan terjejas susulan penurunan kadar tol yang tidak akan dinaikkan selama 38 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 10:42 PM