BERNAMA

PENYEDIA perkhidmatan lebuh raya terbesar negara ini, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bersedia untuk meneliti semula perjanjian konsesi jika kerajaan memutuskan mengambil alih lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ini sejajar dengan kedudukan PLUS sebagai sebuah syarikat konsesi yang memeterai perjanjian terbabit dengan kerajaan.

“Jika kerajaan mahu mengubahnya (perjanjian), maka kita akan meneliti (cadangan) mengikut perjanjian.

“Kita perlu menunggu apa yang kerajaan mahu tawarkan,” katanya ditemui selepas pelancaran kerjasama PLUS dengan Microsoft di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai kesediaan PLUS terhadap langkah pengambilalihan konsesi oleh kerajaan.

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataan sebelum ini, Khazanah menyerahkan kepada PLUS untuk mengendalikan rundingan jika kerajaan bercadang mengambil alih lebuh raya bertol kendalian PLUS.

Khazanah bagaimanapun akan memberi nasihat kepada PLUS dari semasa ke semasa jika wujud sebarang perkembangan berkaitan.

Sabtu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Kementerian Kewangan memberi surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya bertol dengan harga ‘enterprise value’ atau nilai wajar perusahaan RM6.2 bilion yang boleh menjimatkan wang pembayar cukai RM5.3 bilion dari segi bayaran pampasan kepada pemegang konsesi terbabit.

Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP); Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT); Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:33 PM