GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PROGRAM Sarapan Pagi (PSP) untuk murid sekolah rendah tetap diteruskan 20 Januari ini namun, dikhususkan kepada yang kurang berkemampuan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak adil sekiranya mereka yang berkemampuan juga menjadi penerima program bantuan itu.

“Kita akan teruskan program berkenaan (PSP) kepada mereka yang tidak berkemampuan sahaja (kerana) jika beri kepada semua, bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah pun dapat juga,” katanya.

Dr Mahathir yang memangku jawatan Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur, Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Ulang Tahun Ke-70 TNB di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menjelaskan pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah dibuat secara berfasa dengan tumpuan kepada sekolah yang mempunyai ramai murid daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

PSP fasa pertama akan bermula Isnin (20 Januari) membabitkan 100 sekolah rendah di seluruh negara dengan pembabitan 37,000 murid dan 1,600 guru.

Kos pelaksanaannya dianggarkan RM22 juta. PSP berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang menyediakan menu seperti minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat lain serta makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic dan buah-buahan.

Selain membantu murid, ia antara inisiatif Kementerian Pendidikan memastikan pelajar mengamalkan amalan pemakanan seimbang yang boleh merangsang proses tumbesaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 12:39 PM