GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Zanariah Abd Mutalib


KOS bagi pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) yang bakal dilaksana mulai tahun depan akan diputuskan selepas perbincangan selesai.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, setakat ini, maklumat terperinci mengenainya masih belum diperoleh.

“Perkara itu (kos PSP) dibincangkan dengan pihak yang berkaitan, selepas itu baru kita boleh buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) yang terbakar, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UM Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan Timbalan Pengarah (PPjB) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Murugiah Muthusamy.

Maszlee Malik
Maszlee Malik

Pakar Ekonomi Prof Dr Bajoyai Bardai sebelum ini dipetik berkata, Kementerian Pendidikan dijangka perlu membelanjakan antara RM2 dan RM3 bilion setahun bagi melaksanakan PSP bergantung kepada menu yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan diyakini mampu menampung kos berkenaan menerusi perolehan daripada cukai minuman bergula.

Maszlee melalui hantaran status dalam akaun Facebook (FB) mengenai soalan lazim (FAQ) berkaitan PSP pula berkata, kementeriannya masih meneliti kos bersesuaian bagi pelaksanaan PSP.

Selain itu katanya, menu PSP yang sesuai juga sedang dikaji dengan mendapatkan pandangan pakar pemakanan daripada beberapa kementerian termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, serta pakar pemakanan beberapa universiti tempatan bagi menjamin kualiti sarapan yang disediakan.

Sebelum ini, Maszlee mengumumkan seramai 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 3:42 PM