FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Idris Musa

PROGRAM Sarapan Percuma (PSP) yang bakal dilaksanakan tahun depan bukan saja memberi manfaat kepada sejumlah 2,691,231 murid sekolah rendah di seluruh negara, malah guru di sekolah terbabit.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, guru yang bertugas akan turut mendapat makanan percuma.

“Berita baik untuk guru, namun bukan guru yang sama pada setiap hari. Bagi guru yang bertugas, mereka akan bersama dengan murid.

“Guru yang tidak bertugas, mereka akan mendapat peluang pada hari lain. Pendek kata, semua guru akan mendapat keuntungan dan manfaat daripada program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu sama ada guru tidak bertugas mendapat faedah daripada program berkenaan.

Kepada soalan asal Sabri Ajit (PAS-Jerai) berkenaan mekanisme pelaksanaan PSP, Maszlee berkata, dua mekanisme dicadangkan, dengan mekanisme pertama ialah pengoperasian PSP selama 30 minit menggunakan kombinasi menu utama dalam bentuk makanan bermasak dan menu buah-buahan.

Mekanisme kedua katanya, pengoperasian PSP selama 10 minit menggunakan kombinasi menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan menu makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijiran, kuih dan telur rebus.

“Waktu pemberian sarapan pagi ialah sebelum jam 8.30 pagi bagi murid sesi pagi dan sebelum 4 petang bagi murid sesi petang serta dijadualkan secara berperingkat mengikut kesesuaian sekolah.

“Di samping itu, kaedah makanan di dalam kelas bersama-sama guru adalah satu langkah praktikal dari segi ruang dan hubungan mesra guru dengan murid.

“Guru akan bersarapan dengan murid dan di samping mengambil peluang untuk mendidik mengenai khasiat makanan dan adab makan,” katanya yang turut menganggarkan kos program itu antara RM800 juta sehingga RM1.67 bilion, bergantung kepada kaedah pelaksanaan bagi 200 hari persekolahan.

Menurutnya, konsep sarapan pagi itu bukan sarapan semata-mata malah lebih daripada itu ialah konsep untuk makan bersama-sama, harmoni dan mahabah (kasih sayang).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 2:12 PM