GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norsyazwani Nasri


KESATUAN Guru Sarawak (STU) tidak bersetuju dengan penugasan guru memantau Program Sarapan Pagi (PSP) percuma yang akan dilaksanakan di sekolah rendah di seluruh negara dengan fasa pertama bermula 20 Januari ini.

Presiden STU, Macky Joseph berkata, adalah lebih baik bagi guru untuk menjalankan skop kerja asas mereka dengan memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran.

"Kementerian tidak seharusnya meletakkan beban pemantauan kepada guru dan kita tidak bersetuju dengan penugasan guru dalam program ini.

"Ini kerana guru harus diberikan masa yang cukup untuk merancang pengajaran mereka," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Program PSP membabitkan 100 sekolah dari seluruh negara dengan 37,000 murid dan 1,600 guru bertugas setiap hari.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada 27 Disember menyatakan bahawa kos pelaksanaan fasa pertama dianggarkan sebanyak RM22 juta membabitkan 100 sekolah di seluruh negara.

Pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu makanan berkonsepkan Grab ā€˜nā€™ Go yang terdiri daripada menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic, buah-buahan atau telur rebus.

Menjelas lanjut, Macky berkata, STU menyambut baik pelaksanaan program diperkenalkan kementerian itu.

"Kita mahu pihak kementerian memantau secara dekat kualiti makanan dan minuman yang disajikan kepada murid.

"Kita berharap dapat melihat program ini diberikan kepada semua pelajar yang layak secepat mungkin.

"Namun, Kementerian Pendidikan tidak sepatutnya memberikan alasan terhad peruntukan kewangan sebagai alasan kerana kajian terperinci sepatutnya dilakukan sebelum pelancaran program," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 4:24 PM