GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Norzamira Che Noh


ENAM sekolah rendah di Lembah Klang sudah dipilih bagi projek perintis Program Sarapan Percuma (PSP) Kementerian Pendidikan yang akan bermula Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching bagaimanapun tidak mendedahkan nama sekolah berkenaan.

Katanya, penilaian termasuk jenis sarapan yang sesuai untuk PSP akan dilakukan menerusi projek perintis itu nanti.

“Berdasarkannya (projek perintis) kita akan lihat semula (kesesuaian) sebelum membuat keputusan akhir jenis sarapan untuk PSP,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke-21 di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung makanan percuma untuk murid sebelum sesi pembelajaran, tahun hadapan.

Dalam pada itu, Maszlee dalam ciapan di twitter rasminya menjelaskan kumpulan sasar bagi program tersebut adalah semua murid di sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan dengan anggaran 2.7 juta orang.

“PSP akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan ini nanti akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

“PSP dicadangkan untuk dilaksanakan selama 30 minit antara 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang,” ciapnya.

Berita berkaitan:

  • Sarapan percuma mulai tahun depan [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 4:27 PM