KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming


LELAKI terpaksa menanggung kesakitan hampir sejam akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 38, Jalan Semporna-Tawau, di Semporna, semalam.

Kejadian 12.30 tengah hari itu apabila mangsa, Vung Chee Siong, 23, patah kaki kanan selain pendarahan dalaman di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta dari arah Tawau menuju ke Semporna dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya sebelum bertembung lori tiga tan dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk dan remuk di bahagian hadapan sebelum terbabas ke sebelah kiri di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pemandu lori berumur 28 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa dihantar ke hospital Semporna menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Daerah Semporna, Fazizul Hizam Borhan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas.

“Anggota bomba mengambil masa selama hampir 10 minit sebelum mangsa berjaya diselamatkan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan kira-kira sejam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 8:48 AM