FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Norasikin Daineh


Semporna: Dua maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Ladang Pinang, Jalan Semporna-Tawau, dekat sini, sebentar tadi.

Menurut maklumat awal, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, mangsa Mohd Firdaus Musa, 21, dan Kuraitiah @ Kurai Jamaludin, 74, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa parah belum dikenal pasti identitinya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihak bomba menerima panggilan kejadian terbabit pada 2.44 petang.

"Dua pasukan bomba dari Semporna dan Tawau segera dihantar ke lokasi kejadian. Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Tawau tiba pada 4.44 petang dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Innova dan Proton Saga bertembung.

"Pihak bomba mengeluarkan tiga mangsa tersepit di dalam Proton Saga dan dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi parah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas mengesahkan kejadian itu, namun belum mendapat maklumat lanjut dan anggotanya masih berada di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 5:32 PM