MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
Nurul Fhatihah Zakinan


SARJAN polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori muatan kelapa sawit di Jalan Machap, Alor Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, penunggang motosikal, Muhammad Hanif Hassan, 24, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Komersial, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori, 35, dan kelindan, 32, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata, berdasarkan siasatan awal Muhammad Hanif dalam perjalanan dari Muar, Johor bagi menjalankan siasatan manakala lori berkenaan dari arah bertentangan.

“Lori tiba di persimpangan tempat timbang sawit Hong Huei Trading Sdn Bhd dan membelok ke kanan.

“Motosikal berkenaan dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh bahagian tepi sebelah kiri lori sehingga menyebabkan penunggang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di Alor Gajah, hari ini.

Arshad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu lori berkenaan ditahan di Balai Polis Trafik daerah berikutan dipercayai memandu dengan cuai ketika membelok ke kanan.

“Tangkapan dibuat dan polis akan memohon pihak mahkamah bagi perintah reman esok (11 Januari). Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 11:00 PM