KEADAAN motosikal dinaiki tiga pelajar remuk selepas terbabit kemalangan dengan lori di simpang Taman Melor, Jalan Kuala Sungai Baru, semalam. FOTO ihsan PDRM
KEADAAN motosikal dinaiki tiga pelajar remuk selepas terbabit kemalangan dengan lori di simpang Taman Melor, Jalan Kuala Sungai Baru, semalam. FOTO ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Tiga pelajar sekolah patah tangan dan kaki selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori di simpang Taman Melor, Kuala Sungai Baru, dekat sini, semalam.

Nahas berlaku kira-kira jam 7 malam itu membabitkan motosikal Yamaha 135LC dinaiki tiga pelajar terbabit dengan sebuah lori dipandu mekanik berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu daripada orang awam pada jam 7.15 malam dan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori berkenaan sedang membelok ke kanan dari simpang Taman Melor.

"Pada masa sama datang motosikal dinaiki tiga pelajar itu dari arah Kuala Sungai Baru dipercayai menghala ke rumah rakan melanggar tayar belakang sebelah kanan lori.

"Pelanggaran itu menyebabkan penunggang, Muhammad Farish Haiqal Muhamad Zailani, 14, mengalami patah tangan manakala adiknya, Muhammad Firash,10, cedera di kepala dan patah kaki.

"Seorang lagi pembonceng, Mohamad Amirulazry Abdul Hafiz, 13, pula patah tangan dan kaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan dan kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Beliau berkata, Muhammad Farish Haiqal dan Mohamad Amirulazry yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat dan Muhammad Firash Danial, murid Sekolah Kebangsaan Ayer Jernih, kini dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, semakan juga mendapati, motosikal yang digunakan sudah tamat insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sejak Mac 2023 selain penunggang tidak mempunyai lesen memandu.

"Terdapat sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 10:39 AM