Tukang masak maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya melanggar belakang lori di KM221.1 Lebuh Raya Utara Selatan. Foto Ihsan IPD Alor Gajah
Tukang masak maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya melanggar belakang lori di KM221.1 Lebuh Raya Utara Selatan. Foto Ihsan IPD Alor Gajah
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Perjalanan pulang dua tukang masak dari tempat kerja di Salak Tinggi, Sepang, berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan.

Dalam kejadian 5.20 petang semalam, mangsa, Arsyad Tebek Mohd Madura, 26, yang menunggang motosikal meninggal dunia di Kilometer 221.1, Lebuh Raya Utara Selatan di sini, sejurus merempuh belakang lori.

Rakannya, Fathur Rahman Lukmanul Hakim, 33, yang membonceng motosikal sama dilaporkan parah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya dihubungi orang awam pada jam 5.30 petang memaklumkan kemalangan membabitkan motosikal dan lori.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari sebuah restoran di Salak Tinggi, Sepang menuju ke Tangkak, Johor.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa melanggar belakang lori.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Pembonceng turut parah dan dirawat di Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka. Pemandu lori berusia 35 tahun bagaimanapun tidak cedera," katanya dihubungi di sini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 12:49 PM