MOTOSIKAL mangsa yang terbabit kemalangan tiga kenderaan di Alor Gajah, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
MOTOSIKAL mangsa yang terbabit kemalangan tiga kenderaan di Alor Gajah, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Remaja antara dua penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.35 petang itu, Shahrul Effendi Sabtu, 23, yang juga pembantu kantin sekolah dan Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah, 15, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Taufiq Ikhwan hilang kawalan ketika cuba memotong kereta dipandu suri rumah berusia 23 tahun dari arah bandar Alor Gajah.

"Mangsa kemudian bertembung dengan motosikal ditunggang Shahrul Effendi dari arah bertentangan, menyebabkan remaja itu tercampak ke kiri jalan dan dilanggar pemandu kereta itu.

"Kedua-dua penunggang motosikal meninggal dunia, manakala pemandu wanita tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 8:44 PM