SAIFUDDIN (tengah) pada Majlis Perasmian Pembukaan Pasar raya TF Value-Mart di Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
SAIFUDDIN (tengah) pada Majlis Perasmian Pembukaan Pasar raya TF Value-Mart di Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Zuhainy Zulkiffli


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan bawang India dijual sehingga RM24 sekilogram di Pulau Pinang.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mengarahkan pegawai penguat kuasa untuk memeriksa premis didakwa, bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan.

Katanya, hasil laporan akan didedahkan kepada media tidak lama lagi.

“Kita sudah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap peniaga yang menjual bawang pada harga terlalu tinggi.

“Sebenarnya, bekalan bawang adalah mencukupi dan terdapat juga alternatif lain kerana kita bukan mengimport bawang dari India saja, tetapi dari China, Pakistan, Holland dan Mesir, malah harganya juga lebih murah.

“Tetapi orang kita sudah terbiasa dengan bawang India dan sebab itu kita berdepan dengan masalah kenaikan harga apabila India menghentikan eksport mereka,” katanya ketika ditemui di Balik Pulau, hari ini.

Saifuddin berkata, di Pulau Pinang, laporan terakhir diterima daripada Majlis Harga Barang Negara (MHBN) mendedahkan harga bawang dijual antara RM4.90 hingga RM24 yang mana, ia julat harga tertinggi di Malaysia.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis perasmian Pasaraya TF Value-Mart yang ke-33 di negara ini dan pertama di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan barang sempena sambutan Tahun Baru Cina adalah mencukupi dan akan mengumumkan skim harga maksimum terhadap beberapa barangan terpilih dalam masa terdekat.

“Sekarang kita dalam proses konsultansi dan jumlah bekalan antara faktor yang diambil kira dan yang pasti ia mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 4:33 PM