SAARANI Mohamad. Foto Bernama
SAARANI Mohamad. Foto Bernama
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan Perak tidak mahu rakyat negeri itu menderita akibat kekurangan bekalan air sekiranya air mentah atau terawat disalurkan ke Pulau Pinang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan pendirian itu selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang memohon pertimbangan berhubung keputusan muktamad isu pembekalan air mentah atau terawat ke negeri Pulau Pinang.

"Memang ada kajian yang juga dibuat oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kita juga membaca kajian berkenaan.

"Cuma saya ingin memaklumkan sekali lagi, berdasarkan pengalaman kita melihatkan derita penduduk Pulau Pinang akibat kekurangan bekalan air itu menyebabkan Perak mengambil pendekatan membuat persiapan mempertahankan kita (negeri) dahulu.

"Kalau terlepas air ke tempat lain kita nak minta balik tak boleh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan tambahan lisan daripada Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) yang meminta pandangan mengenai cadangan masa depan kerajaan negeri mempertingkatkan bekalan air terawat untuk Perak Utara segi air terawat dengan Pulau Pinang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Adun Kota Tampan itu berkata, kerajaan negeri turut mengulang pendirian bahawa bekalan air di negeri itu hanya mencukupi untuk rakyat Perak sahaja selepas kajian dilakukan tiga agensi di negeri itu.

"Sebab itu kita membuat keputusan lebih baik kita menjaga kepentingan kita dahulu kerana derita tak cukup air ini cukup besar.

"Seperti yang saya maklumkan, kita dah buat unjuran air ini mencukupi untuk kegunaan kita dan tidak dapat membekalkannya kepada orang lain," katanya.

Beliau turut mengulas isu sama yang diajukan dalam soalan lisan oleh Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi).

Saarani berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Lembaga Air Perak (LAP) menunjukkan sebanyak 50 peratus daripada sumber bekalan air terawat bagi rakyat di negeri adalah berpunca dan dirawat daripada Sungai Perak dan anak Sungai Perak melalui Loji Rawatan Air (LRA), LAP yang terletak di sepanjang Sungai Perak.

Katanya, Jelapang padi yang terletak di daerah Kerian di mana sumber air utamanya adalah daripada Empangan Bukit Merah yang kerap kali berlaku penyusutan ketara terutamanya pada musim kemarau.

"Jadi, Jabatan Pengairan dan Saliran mengesyorkan supaya kerajaan negeri memberikan keutamaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi di kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 11:30 AM