Mohd Hafizee Mohd Arop


GENG Ah Leong yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Perak menggunakan Honda City tumpas selepas tiga ahli kumpulan itu termasuk seorang wanita diberkas polis.

Ketiga-tiga suspek berusia 38 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sebuah rumah di Meru Valley, Jelapang, Ipoh, hasil maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai sudah menjalankan 12 kes pecah rumah di Ipoh, satu kes di Sungai Siput, satu kes di Selangor dan beberapa kes di Kuala Lumpur.

Katanya, kumpulan itu dipercayai mula aktif sejak Jun tahun lalu selepas ketua geng itu melarikan diri dari Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 di Pasir Puteh, Kelantan.

“Ketika serbuan dijalankan, ketua kumpulan berusia 48 tahun retak kedua-dua belah tapak kaki selepas terjun dari tingkat dua rumah itu untuk melarikan diri.

“Namun mereka berjaya diberkas dan semua suspek mengaku melakukan pecah rumah dengan menggunakan Honda City,” katanya dalam sidang media di IPD Ipoh, hari ini.

A Asmadi berkata, siasatan lanjut mendapati kereta digunakan itu adalah milik isteri kepada ketua kumpulan dan wanita itu ada membuat laporan mengenai suaminya yang melarikan kenderaan itu.

Katanya, polis merampas 34 barangan dipercayai hasil pecah rumah antaranya telefon bimbit, tablet, komputer riba, set sarung tangan, kad pengenalan mangsa pecah rumah dan kad pengenalan palsu.

“Kumpulan ini mensasarkan rumah di kawasan berpagar dan berpengawal, kemungkinan menyamar sebagai kontraktor pembaikan rumah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ditanya sama ada kumpulan itu turut terbabit dengan kejadian pecah rumah EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong, beliau berkata, siasatan masih dijalankan namun ada kemungkinan ia didalangi kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 1:19 PM
A Asmadi (tengah) menunjukkan rampasan barang daripada Geng Ah Leong. FOTO Abdullah Yusof
A Asmadi (tengah) menunjukkan rampasan barang daripada Geng Ah Leong. FOTO Abdullah Yusof