Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Geng Dobi Tiguan yang mendalangi sembilan kes mencuri duit di kedai dobi layan diri 24 jam tumpas selepas polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan mereka.

Penahanan suspek dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dalam dua serbuan berasingan di rumah sekitar Bercham dan Tambun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis menyerbu rumah berkenaan pada 25 April lalu dan menahan tiga lelaki berusia 21 hingga 26 tahun.

"Serbuan dibuat selepas terdapat sembilan kes membabitkan kecurian duit di kedai dobi layan diri 24 jam yang berlaku di kawasan Tambun, Ampang Baru, Simpang Pulai dan Kampung Rapat pada 10 April sehingga 24 April lalu.

"Bertindak atas risikan, polis berjaya menangkap seorang lelaki di kawasan Bercham dan dua lelaki di kawasan Bercham dan Tambun bersabit kes pecah rumah dan kecurian duit di dobi layan diri 24 jam," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Ipoh di sini hari ini.

A Asmadi berkata, hasil siasatan, polis berjaya merampas pelbagai alatan pecah rumah seperti 29 kotak rokok pelbagai jenama, 29 botol minuman keras pelbagai jenama, barangan elektronik, kamera litar tertutup (CCTV), dokumen peribadi termasuk buku simpanan bank hasil kes pecah rumah serta pakaian yang diguna pakai oleh suspek semasa kejadian.

Geng Dobi Tiguan yang mendalangi sembilan kes mencuri duit di kedai dobi layan diri 24 jam tumpas selepas polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan mereka. FOTO Sharul Hafiz Zam
Geng Dobi Tiguan yang mendalangi sembilan kes mencuri duit di kedai dobi layan diri 24 jam tumpas selepas polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan mereka. FOTO Sharul Hafiz Zam

"Hasil siasatan suspek mengaku sudah melakukan 16 kes di daerah Ipoh dan satu kes di Kuala Kangsar, iaitu sembilan kes curi duit di kedai dobi layan diri 24 jam, empat kes pecah rumah dan tiga kes pecah kedai dengan jumlah kerugian bagi semua kes kira-kira RM50,000.

"Modus operandinya, suspek akan menggunakan kereta sewa dengan menggunakan kad pengenalan palsu dan mencari sasaran seperti rumah inap, kedai dan kedai dobi layan diri 24 jam," katanya.

Beliau berkata, selepas disoal siasat semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah dan dadah.

"Seorang daripada suspek juga tahanan (POCA) dari Selangor bermula 4 Mac tahun lalu atas kesalahan curi dan pecah cermin kereta sedang menjalani hukuman di kawasan Bercham, jadi mungkin dia menggunakan kepakarannya untuk rekrut serta menjalankan aktiviti di sini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, tempoh reman bagi semua tangkapan adalah sehingga hari ini dan akan disambung untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, seorang lagi suspek berusia 25 tahun masih bebas sedang dikesan pihak polis dan orang ramai diminta tampil sekiranya mempunyai maklumat berhubung suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 2:16 PM