A Asmadi (dua kiri) menunjukkan barang yang dirampas dalam kes pecah rumah di Ipoh. FOTO Effendy Rashid.
A Asmadi (dua kiri) menunjukkan barang yang dirampas dalam kes pecah rumah di Ipoh. FOTO Effendy Rashid.
Shamsul Kamal Amarudin


POLIS menahan lelaki disyaki memecah rumah di Medan Pasir Indah, Ipoh dan melarikan pelbagai barang kemas dan jam tangan berjenama bernilai RM203,000.

Penahanan suspek berusia 22 tahun itu susulan laporan dibuat pemilik rumah iaitu wanita pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek ditahan ketika memandu Honda Civic kelabu di Jalan Pasir Mas, Pasir Puteh pada 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

Katanya, dalam insiden itu, mangsa mendakwa hilang cincin dan subang berlian bernilai RM100,000; jam tangan Rolex berharga RM30,000; lima rantai emas bernilai RM20,000; tiga jam tangan Oris III bernilai RM20,000 dan kalung berlian RM20,000.

“Turut hilang, jam tangan jenama Ball berharga RM8,000 dan beg jenama Prada bernilai RM5,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

A Asmadi berkata, penahanan suspek membolehkan pihaknya menemui 45 barangan dipercayai hasil samun di dalam kereta, manakala 94 barangan lagi dirampas dari rumahnya di Ipoh.

Katanya, antara yang dirampas, 35 jam tangan pelbagai jenama termasuk jenama mewah, 20 telefon bimbit, empat komputer riba, 13 botol arak jenama mahal, empat pisau pelbagai saiz, tiga pedang, dua parang dan satu kapak besi.

“Dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan kegiatan pecah rumah itu bersama seorang rakan yang masih bebas dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis ganja.

“Suspek juga mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan kami masih menyiasat sama ada barangan dirampas itu turut membabitkan kegiatan pecah rumah di premis lain,” katanya.

Beliau memberitahu, jam tangan Rolex yang disamun dipercayai dilarikan rakan suspek.

Menurutnya, polis turut memohon lanjutan reman suspek yang tamat hari ini

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 5:29 PM