CHANG Keong menunjukkan peralatan yang dirampas daripada suspek. FOTO Mohd Nazrulaswad Hamdan
CHANG Keong menunjukkan peralatan yang dirampas daripada suspek. FOTO Mohd Nazrulaswad Hamdan
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Polis menyelesaikan lapan kes pecah kedai nombor ramalan sepanjang tahun ini yang didalangi warga Vietnam dengan tertangkapnya enam ahli 'Geng Tebuk Ramalan' berusia antara 21 hingga 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, hasil maklumat orang awam, polis menahan suspek pertama iaitu lelaki warga Vietnam berusia 38 tahun di Taman Rishah di sini, pada 7.26 malam, 31 Oktober lalu.

Katanya, pihaknya menyita kereta dan merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk kedai seperti mesin pengisar, tiga parang panjang, pemutar skru, kuku kambing dan penutup muka.

“Hasil tangkapan pertama ini membawa kepada tangkapan empat lagi suspek di Taman Buntong Jaya termasuk rampasan beberapa peralatan pecah kedai seperti mesin dril, parang, pemutar skru, pahat dan sarung tangan.

"Hasil soal siasat berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 30 tahun dan merampas beberapa peralatan pecah rumah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 7:17 PM