JAWAHAR Ali pada sidang media di Sentul Raya Boulevard. FOTO Azhar Ramli
JAWAHAR Ali pada sidang media di Sentul Raya Boulevard. FOTO Azhar Ramli
Mohamad Ashyiq Haqimi

Kuala Lumpur: Walaupun berlaku kenaikan harga barangan, restoran nasi kandar memberi jaminan akan berusaha mengawal harga makanan di premis masing-masing untuk mengurangkan beban orang ramai.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya menerusi ahli persatuan itu akan mengawal harga makanan di restoran nasi kandar di negara ini walaupun harga barangan semakin meningkat.

"Kami akan mengawal harga makanan yang kami sediakan, tiada kenaikan harga yang drastik walaupun harga barangan mentah seperti tepung, sayur-sayuran, beras dan minyak masak semakin meningkat.

"Ia juga bergantung kepada konsep sesebuah restoran mamak itu, jika konsep mamak terbabit tampak mewah, harga akan jadi tinggi sedikit, tetapi masih munasabah kepada orang ramai.

"Tetapi kami akan tetap fokuskan memberi servis yang berkualiti, menyediakan makanan yang bersih dan sedap serta menjaga kebersihan kedai dengan baik untuk keselesaan kesemua pelanggan kami," katanya pada sidang media di Sentul Raya Boulevard, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jawahar mengulangi pendirian bahawa Presma kecewa terhadap tuduhan corak perniagaan restoran nasi kandar berbentuk kartel dengan memberikan modal untuk peniaga lain membuka restoran.

Menurutnya, dakwaan berkenaan ternyata menjejaskan imej dan nama baik pengusaha restoran nasi kandar yang diketahui daripada segi sejarahnya sudah bertapak lama di negara ini.

"Dakwaan seperti itu sudah jelas tidak berasas kerana hakikatnya pemilik restoran nasi kandar menambah rangkaian dengan inisiatif dan kesungguhan sendiri, bukannya ditentukan kartel seperti digambarkan.

"Justeru, rakan-rakan media diingatkan agar lebih berhati-hati dengan sebarang penulisan serta komen yang diberikan agar tidak tersalah fakta hingga membawa kepada implikasi perundangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:30 PM