Hidayatul Akmal Ahmad


“SAYA sangka ia bunyi dentuman akibat kemalangan, rupanya tembok penghadang runtuh dari cerun berketinggian sembilan meter,” kata Lokman Said.

Lokman, 63, adalah penduduk di Taman Zoo View, Ampang, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 5.45 petang ketika dia sedang berehat bersama keluarga di kediamannya.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman kuat. Saya sangka ada kemalangan dan apabila lihat di luar, rupanya tembok penghadang runtuh dari cerun.

“Saya keluar bersama beberapa penduduk untuk mengalihkan bongkahan batu dan pokok yang tumbang di atas jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Lokman berkata, kejadian itu adalah kali ketiga berlaku dalam tempoh dua tahun sejak dia mula menduduki kawasan perumahan itu hampir setahun lalu.

TINJAUAN tembok penghadang runtuh dari cerun berketinggian sembilan meter di Taman Zoo View, Ampang, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.
TINJAUAN tembok penghadang runtuh dari cerun berketinggian sembilan meter di Taman Zoo View, Ampang, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.

“Kali pertama berlaku pada 2017 di tempat dan lokasi sama. Kemudian kejadian kali kedua pada Jun lalu dan ini adalah kali ketiga.

“Setiap kali musim hujan, saya dan keluarga dalam keadaan takut dan berjaga-jaga kerana risau dengan kejadian menakutkan ini.

“Melihat pergerakan tanah secara ‘live’ membuatkan saya tidak senang duduk, malah niat untuk membeli rumah di sini terbantut akibat kejadian ini,” katanya.

Penduduk lain, Rahim Yahaya, 58, berkata tambahan struktur pada rumah penduduk antara punca tanah cerun berkenaan tidak mampu menampung beban.

Menurutnya, pada kejadian pertama dua tahun lalu penduduk di deretan rumah teres terbabit diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selama satu malam untuk tujuan keselamatan.

“Apabila insiden sama berulang hari ini dan membabitkan struktur retak, kami khuatir perlu mengosongkan kediaman sekali lagi.

“Sebelum ini, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pernah mengeluarkan notis mengemukakan pelan disusuli saman, tidak membabitkan perobohan struktur tambahan antara sebab isu sama berulang,” katanya.

Dalam kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan kejadian tanah runtuh membabitkan dua rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 11:30 PM