BERNAMA

Kuala Lumpur: Siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) di lokasi tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, mendapati terdapat kebocoran pada sistem perpaipan bekalan air di kawasan terbabit.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kebocoran paip pada sistem perpaipan itu menyebabkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi seterusnya meningkatkan daya sisi (lateral force) kepada tembok penahan sedia ada daripada jenis Contiguous Micropile.

"Sebahagian tembok penahan tersebut telah runtuh bersama-sama dengan tanah cerun," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Nanta taburan hujan di Stesen Sentul untuk empat hari dari 21-24 April juga mencatatkan bacaan yang tinggi antara 16.0 milimeter (mm) hingga 47.5 mm, namun semasa kejadian cuaca adalah baik serta tiada hujan langsung.

Beliau berkata JKR juga memerlukan lukisan terbina struktur tembok penahan sedia ada daripada pihak pemilik bangunan untuk membuat semakan lanjut terhadap struktur tembok penahan berkenaan.

Dalam pada itu, Nanta berkata kerja-kerja pembersihan tapak di lokasi tanah runtuh di pintu masuk utama MACA di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, akan bermula petang ini oleh kontraktor yang dilantik.

Beliau berkata turut dilaksanakan bermula petang ini ialah pemasangan tarpaulin sheet di kawasan cerun runtuh bagi mengelakkan resapan air hujan terus ke tanah.

"Kerja-kerja pemasangan tilt sensor bagi memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut dijangka bermula 27 April (esok)," kata Nanta.

Semalam, Bernama melaporkan MACA mengosongkan seluruh kawasan akademi itu dengan memindahkan 45 individu susulan kejadian tanah runtuh tersebut pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), individu terbabit iaitu 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh penghuni kuarters termasuk keluarga pegawai dipindahkan dari bangunan MACA ke kawasan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 5:59 PM