PAPAN tanda cerun dipasang bagi memudahkan penandaan kawasan berbahaya dan bagi tujuan penyelenggaraan.
PAPAN tanda cerun dipasang bagi memudahkan penandaan kawasan berbahaya dan bagi tujuan penyelenggaraan.
SETIAP cerun mempunyai nombor rujukan cerun untuk semakan pemantauan.
SETIAP cerun mempunyai nombor rujukan cerun untuk semakan pemantauan.
CERUN buatan perlu dipantau dan diselenggara secara berkala bagi memastikan ia tidak mengalami sebarang kerosakan.
CERUN buatan perlu dipantau dan diselenggara secara berkala bagi memastikan ia tidak mengalami sebarang kerosakan.
CERUN semula jadi di Taman Tunku Abdul Razak, Ampang.
CERUN semula jadi di Taman Tunku Abdul Razak, Ampang.
CERUN buatan di Taman Bukit Utama, Ampang.
CERUN buatan di Taman Bukit Utama, Ampang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Mukim Ampang di Selangor hanya kira-kira 11 kilometer (km) dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Berkeluasan kira-kira 3,856 hektar dengan jumlah penduduk dianggarkan 800,000 orang, ia boleh diklasifikasikan sebagai kawasan padat penduduk.

Namun, ramai tidak mengetahui Ampang adalah satu kawasan yang mempunyai banyak cerun iaitu sebanyak 352 di 600 lokasi.

Daripada jumlah itu, 114 cerun dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang, Bukit Antarabangsa (103), Lembah Jaya (81) dan Teratai (54).

Manakala cerun di kawasan terbabit terbahagi kepada tiga jenis iaitu cerun semula jadi, buatan dan batuan.

Berdasarkan angka diberikan itu pastinya akan menimbulkan persoalan kepada umum mengapa terdapat banyak cerun di kawasan Ampang?

Difahamkan, sebelum ini Ampang menjadi bandar satelit bagi Kuala Lumpur yang menerima impak daripada kemajuan pesat berlaku di bandar raya berkenaan.

Oleh itu, banyak kawasan penempatan dibuka di Ampang berbanding pusat komersial bagi menampung permintaan tinggi untuk kediaman.

Memandangkan tanah rata di Ampang sudah tiada, kawasan tanah tinggi di situ terpaksa diteroka bagi tujuan berkenaan.

Pembangunan di kaki bukit dan bukit yang berlaku itu menjadi faktor kepada kewujudan serta pertambahan cerun di Ampang terutama cerun buatan.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi berkata, setakat ini hanya 352 cerun di Ampang sudah dikenal pasti dan lazimnya cerun baharu terbentuk selepas satu projek pembangunan dilaksanakan.

“Cerun di sini (Ampang) dibahagikan kepada tiga pemilikan iaitu di bawah pengurusan MPAJ, individu dan pemaju serta kerajaan iaitu tanah rizab sekolah dan tanah yang belum diambil alih oleh agensi berkaitan.

“Cerun paling banyak ialah di DUN Hulu Klang yang meliputi Taman Melawati hingga Ukay Perdana,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, MPAJ mengklasifikasikan 116 cerun daripada keseluruhan 352 cerun di Ampang sebagai sangat berbahaya, 47 cerun bahaya dan 189 cerun kurang bahaya.

Katanya, pihaknya sudah membuat pengukuhan atau penstabilan cerun menggunakan teknik ‘wire netting’ dan ‘rock bolting’ bagi mengukuhkan semula permukaan batu di lereng cerun batuan.

Zafrul Fazry berkata, satu kaedah dipanggil ‘kinematic analysis’ dijalankan bagi menganalisis potensi kegagalan cerun berkenaan sebelum faktor keselamatan (FOS) sesuatu cerun diperoleh.

Selain itu Zafrul Fazry menjelaskan, sebelum ini terdapat cerun kritikal di kawasan Ampang, namun selepas melaksanakan beberapa projek penstabilan cerun, tahap cerun terbabit dapat ditingkatkan kepada kurang bahaya.

“Projek ini membabitkan kos RM30 juta yang dilaksanakan sejak 2012 hingga kini menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri dan MPAJ.

“Antara lokasi projek terbabit (penstabilan cerun) ialah di Bukit Antarabangsa, Taman Bukit Permai dan Lembah Jaya,” katanya.

Ditanya bagaimana cerun boleh menjadi bahaya, beliau berkata, ia berpunca daripada air dan ‘soil properties’ antara faktor utama menentukan kestabilan cerun.

“Untuk memastikan cerun dalam keadaan stabil, faktor kewujudan air dalam tanah perlu dikurangkan dengan sentiasa melaksanakan penyelenggaraan.

“Penyelenggaran merangkumi kerja pembersihan saluran longkang di kawasan cerun, membuang pokok liar dan mengenal pasti tanda awal kegagalan cerun,” katanya.

Menurutnya, MPAJ mengeluarkan Buku Panduan Penyelenggaraan Cerun untuk Orang Awam pada 2011 apabila buku berkenaan membantu orang ramai mengenal pasti tanda awal kegagalan cerun.

“Antaranya halangan di dalam saliran cerun, saliran longkang rosak, keretakan pada cerun atau tembok penahan, lubang leleh dan paip saliran tersumbat.

“Tumbuhan pada celahan tembok retak, permukaan cerun terdedah, kerosakan pada tembok penahan, batuan longgar atau sisa runtuhan cerun, paip air bocor di kawasan cerun dan struktur besi berkarat serta rosak juga dikaitkan dengan tanda awal kegagalan cerun,” katanya.

Zafrul Fazry berkata, susulan kejadian tanah runtuh bukit antarabangsa pada 2008, kerajaan negeri melalui Jabatan Perancangn Bandar dan Desa Negeri Selangor memperkenalkan satu garis panduan iaitu Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi 2010.

“Dalam garis panduan ini, pemaju diwajibkan mengikut garis panduan dan pembangunan di tanah tinggi di Selangor ditetapkan yang setiap pembangunan perlu mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar.

“Jawatankuasa ini akan mengulas mengenai pembangunan yang bakal dilaksanakan dan kaitannya dengan alam sekitar terutama cerun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:59 PM