Cerun runtuh jalan lama Lojing yang menyebabkan jalan itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan sejak malam kelmarin. FOTO RAMLI IBRAHIM
Cerun runtuh jalan lama Lojing yang menyebabkan jalan itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan sejak malam kelmarin. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Bunyi dentuman kuat ingatkan bunyi guruh rupanya cerun runtuh," kata penduduk Orang Asli, Along Angah, 56, di Kampung Sendrop, Pos Brooke, dekat sini.

Katanya, kejadian tanah runtuh itu berlaku 11 malam kelmarin ketika hujan lebat di jalan lama Lojing berhampiran kampung berkenaan.

Bagaimanapun, dia berkata, kejadian itu tidak menjejaskan keselamatan penduduk Orang Asli kampung terbabit kerana terdapat laluan lain.

"Ketika kejadian itu, kebanyakan penduduk sedang bersiap untuk tidur dan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat cerun runtuh.

"Kami turut bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat apa sebenarnya berlaku dan mendapati jalan terbabit tertimbus tanah dan tidak boleh dilalui kenderaan," katanya ketika ditemui, di Kampung Hendrop, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, jalan Lojing lama yang berlaku kejadian cerun runtuh itu ditutup kepada semua kenderaan.

Katanya, kejadian terbaru cerun runtuh di jalan lama Lojing itu membabitkan sejauh 50 meter dan kedalaman cerun pula 40 meter.

"Jalan lama itu sering dilalui kenderaan pengangkut sayuran untuk dihantar ke Cameron Highlands dan ke kebun sayur sekitarnya.

"Pengguna sudah boleh melalui jalan utama di Laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang - Lojing yang sudah dibuka selorong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 2:59 PM