Ahmad Hasbi

Nilai: Kerajaan negeri akan membina tembok di sepanjang lereng bukit di belakang rumah penduduk di Rumah Rakyat Batang Benar di sini, susulan kejadian enam rumah retak dan runtuh akibat pemendapan tanah, petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai J Arul Kumar berkata, tembok berkenaan sebagai penghadang dan menstabilkan kedudukan tanah di lereng bukit kediaman penduduk.

Arul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan berkata, penduduk yang membina struktur tambahan di atas tanah rizab kerajaan juga perlu bersetuju supaya binaan berkenaan dirobohkan.

"Siasatan awal mendapati hampir 80 peratus rumah di sini, membina struktur tambahan di bahagian belakang dan saya percaya sebahagian besarnya dibina lebih 30 tahun lalu.

"Apabila tanah di lereng bukit itu tidak dapat menampung beban binaan berkenaan, ditambah pula dengan keadaan hujan sejak beberapa hari menyebabkan tanah runtuh," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Arul berkata, pembinaan tembok berkenaan memakan masa yang lama dan kosnya juga tinggi, namun itu jalan penyelesaian jangka panjang yang paling berkesan.

"Semua penghuni di deretan itu terpaksa bersetuju supaya struktur binaan tambahan dirobohkan termasuk rumah yang tidak terjejas dalam kejadian ini sebelum tembok penghadang dibina.

"Kami tidak mahu jika di bahagian yang terbabit sahaja dibina tembok kerana berkemungkinan besar kejadian sama akan berlaku lagi di rumah lain. Jadi kami akan bina tembok di sepanjang lereng.

"Beberapa jabatan yang terbabit sudah melawat kawasan ini dan akan mengambil tindakan segera. Buat masa ini penduduk yang terjejas akan dipindahkan ke penempatan sementara.

"Kami akan mencari rumah sewa kepada penduduk supaya mereka dapat dipindahkan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah melawat mereka untuk mengenalpasti keperluan jangka pendek dan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 3:29 PM
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J Arul Kumar melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Rakyat Batang Benar, di sini, hari ini. Foto Ahmad Hasbi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J Arul Kumar melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Rakyat Batang Benar, di sini, hari ini. Foto Ahmad Hasbi