TRAGEDI tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. FOTO Bernama
TRAGEDI tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Kejadian curahan hujan (rainfall event) merupakan faktor pencetus utama tragedi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 orang pada Disember tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kejadian curahan hujan itu adalah akibat daripada kombinasi jumlah hujan major bagi tempoh lima hari dan hujan anteseden kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku dengan masing-masing merekodkan sebanyak 118.6 dan 444.8 milimeter.

"Hujan yang lebat ini telah menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa," katanya menerusi kenyataan mengenai Laporan Siasatan Berkaitan Tragedi Tanah Runtuh di Batang Kali, Selangor yang dikeluarkan hari ini.

Beliau terdahulu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2 bagi 2023 di sini.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan keputusan Jemaah Menteri pada 12 April lepas (2023) yang bersetuju supaya laporan siasatan berkaitan tragedi tanah runtuh itu, yang melibatkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya berjaya diselamatkan manakala 31 lagi terkorban, diumumkan kepada orang awam.

"Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai satu daripada faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata laporan forensik yang disediakan oleh Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) itu telah dimajukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kerajaan Selangor untuk dinyahklasifikasi bagi membolehkan hasil siasatan berkenaan diakses oleh orang awam.

Kerajaan Selangor bersetuju untuk menyahklasifikasikan laporan tersebut pada 5 Oktober lalu dan laporan insiden berkenaan telah diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 12 Oktober lalu untuk tindakan lanjut, katanya.

Laporan penuh JKKTR itu boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma di https://www.nadma.gov.my bermula 10 pagi esok.

JKKTR ditubuhkan susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali bagi menjalankan kerja-kerja penyiasatan tanah runtuh ini berdasarkan kepada Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023 dan keputusan Jemaah Menteri.

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Cawangan Kejuteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan disertai agensi teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan badan profesional yang dilantik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 8:12 PM