Siti Rohana Idris


INSIDEN jatuh dari bumbung rumah ketika bertukang lebih sebulan lalu menyebabkan seorang nelayan di Tumpat tidak mampu berjalan.

Wan Sukri Wan Husin, 44, yang lumpuh sebelah kanan badannya bergantung sepenuhnya kepada isterinya, Jariah Aziz 35, yang juga sedang hamil empat bulan untuk menguruskan rutin harian termasuk makan dan mandi.

Wan Sukri yang juga nelayan pinggir pantai berkata, menjelang musim tengkujuh, dia bersama nelayan lain tidak turun ke laut dan kebanyakannya menyambung sumber pencarian dengan bertukang.

“Ketika itu, saya ingin memasang kepingan zink di bumbung sebelum terjatuh pada ketinggian hampir tiga meter.

“Kepala saya pecah, tulang di bahagian bahu kanan tercabut dan retak tulang belakang menyebabkan saya dirawat hampir tiga minggu di hospital.

“Ujian imbasan yang dibuat juga mendapati tulang leher saya tercucuk saraf dan perlu menjalani pembedahan memasukkan besi di bahagian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, hari ini.

PRESIDEN Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam (empat kiri) bersama ahlinya melawat seorang nelayan, Wan Sukri Wan Husin, 44, yang lumpuh sebelah kanan badannya akibat terjatuh dari bumbung rumah ketika ingin memasang kepingan zink sambil di temani isterinya, Jariah Aziz, 35, dan anak-anak di rumahnya di Kampung Baru Nelayan.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PRESIDEN Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam (empat kiri) bersama ahlinya melawat seorang nelayan, Wan Sukri Wan Husin, 44, yang lumpuh sebelah kanan badannya akibat terjatuh dari bumbung rumah ketika ingin memasang kepingan zink sambil di temani isterinya, Jariah Aziz, 35, dan anak-anak di rumahnya di Kampung Baru Nelayan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Wan Sukri kini sudah tidak mampu bekerja mencari rezeki untuk isteri serta empat anak yang berusia dua hingga 11 tahun dan terpaksa mengharapkan ehsan keluarga serta jiran yang datang menziarah.

Isterinya, Jariah berkata, mereka bimbang memikirkan perbelanjaan harian yang perlu ditanggung untuk kos pembelian lampin pakai buang serta susu khas suaminya yang mencecah RM1,000 sebulan.

Katanya, doktor ada memaklumkan suami akan pulih, namun prosesnya mengambil masa dan kami buntu memikirkan bagaimana lagi untuk mencari sumber kewangan.

“Keadaan bertambah genting mengenangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi yang memerlukan perbelanjaan lebih untuk dua anak termasuk persediaan kelahiran anak kelima kami nanti,” katanya.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang hadir memberikan sumbangan makanan keperluan harian.

Presidennya, Pui Tiong Lam berkata, pihaknya akan cuba membantu dari segi bantuan lain termasuk katil khas serta kerusi roda.

“Kami difahamkan dua peralatan yang digunakan Wan Sukri itu kini dipinjam dari pihak tertentu dan disebabkan itu kami akan mengusahakan untuk mencari yang lain sebagai gantinya,” katanya.

Kepada yang ingin membantu keluarga ini boleh hubungi Jariah di talian 0199342831.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 11:39 AM