Jamian menunjukkan kesan lebam di belakangnya selepas terjatuh dari bumbung rumahnya di Parit Samion. FOTO Alias Abd Rani
Jamian menunjukkan kesan lebam di belakangnya selepas terjatuh dari bumbung rumahnya di Parit Samion. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Ketika saya sedang menyiapkan kerja-kerja terakhir. Namun saya terpijak asbestos reput sebelum terjatuh," kata Jamian Marzuki yang patah tiga tulang rusuk selepas terjatuh, dari bumbung rumahnya, minggu lalu.

Kejadian berlaku jam 6 petang menyebabkan satu lagi tulang rusuk Jamian, 71, retak dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismai (HSNI) selama lima hari.

Lebih memeritkan apabila Jamian yang jatuh pada ketinggian lebih empat meter turut menghempap pasu bunga menyebabkan dia sesak nafas.

Menurutnya, dia ketika itu sedang menggantikan atas rumah asbestos kepada kepingan zink.

"Sebaik membersihkan kepingan atas bumbung, saya kemudian memijak asbestos sebelum terjerumus jatuh. Saya kemudian menghempap pasu bunga menyebabkan saya sukar bernafas ketika itu.

"Kejadian itu disedari ahli keluarga sebelum mereka membawa saya ke HSNI. Doktor menjalankan ujian x-ray mendapati tiga tulang rusuk patah manakala satu lagi retak.

"Saya ditahan di wad namun meminta kebenaran keluar untuk mendapat rawatan secara tradisional," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Maimon, di sini, hari ini.

Katanya lagi, dia perlu menjalani latihan pernafasan setiap hari ketika ini bagi menguatkan kembali paru-paru.

"Buat masa ini, saya tidak boleh bekerja kuat selagi belum sembuh sepenuhnya. Sudah menjadi kebiasaan saya akan membaiki bumbung rumah jika bocor.

"Tapi, saya tidak jangka akan terjadi perkara seperti ini," katanya juga memiliki kebolehan bertukang.

Terdahulu, dia dikunjungi Exco Agama Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 5:36 PM