MOHAMAD Sabu.  FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Sabu. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA akan membuat pendirian selepas siasatan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” itu jawapan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengenai isu bawa pulang abu mayat Chin Peng.

Beliau menjawab perkara itu ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2010 kementeriannya di sidang Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, hanya selepas KDN selesai melakukan siasatan lengkap, beliau akan menyatakan pendirian mengenai isu berkenaan.

“Yang jadi popular hari ini (sidang Dewan Rakyat) adalah abu mayat. Tapi usul ini patut dibawa kepada KDN.

“Isu itu kena selidik dulu. Betul ke abu dia (Chin Peng), bila bawa masuk, macam mana bawa masuk, semua itu di bawah (bidang kuasa) KDN,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) masing-masing bangun serentak dan mereka meminta Mohamad menjelaskan juga pendirian peribadinya berhubung isu itu.

Noh mahu Mohamad jelaskan sama ada setuju atau tidak abu mayat itu dibawa pulang manakala, Khairy pula mahu Mohamad menyatakan pendirian sebenar sebagai mewakili suara warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad kemudian mengulangi bahawa beliau akan menjelaskan pendiriannya mengenai isu itu selepas siasatan oleh KDN.

Menurutnya, selepas mendapat berita mengenai isu itu, beliau terus menghubungi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor iaitu individu yang berunding pada Rundingan Damai Haadyai 1989 antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM).

“Rahim ada pandangan dia, saya pula akan dedahkan pandangan dan akan buat kenyataan nanti.

“Jadi pandangan ini ada pelbagai perbezaan jadi pendirian saya. Saya akan buat selepas KDN buat siasatan,” katanya.

Selepas itu, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) kemudian bangun mencelah, “Ketika jadi pembangkang, Yang Berhormat (Mohamad) setuju ia (abu) dibawa balik. Adakah ini bermaksud nak u-turn pula?” soalnya.

Mohamad kemudian menjelaskan, “Ramai di luar sana mengatakan bila saya ceramah dah tak sedap. Kerana jadi menteri saya kena jaga setiap perkataan.

“Sebab itu kalau nak memberi kenyataan bukan perkara mudah, ia mudah masa jadi pembangkang.

“Jadi, saya sekali lagi akan buat pendirian ini selepas siasatan KDN. KDN akan beri jawapan.”

Isu abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua menjadi perhatian di sidang Dewan Rakyat hari ini malah, ia menjadi perhatian ahli dewan khususnya wakil pembangkang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 8:28 PM