Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS sudah mengenal pasti laluan dan tarikh masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini yang dibawa satu kumpulan individu pada September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut berhubung siasatan berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita juga sedang siasat bagaimana cara abu mayat itu dibawa masuk ke sini, termasuk kemungkinan ia dibawa masuk secara rahsia

“Buat masa ini, kita tidak akan dedahkan hasil siasatan kerana masih terlalu awal, tetapi kita sudah kenal pasti laluan dan bila,” katanya pada sidang media harian di Bukit Aman, hari ini.

HUZIR Mohamed. FOTO Asyraf Hamzah.
HUZIR Mohamed. FOTO Asyraf Hamzah.

Huzir turut menafikan kepulangan abu mayat Chin Peng mempunyai kaitan dengan isu bendera berbucu lima.

“Setakat ini memang tidak nampak ada kaitan berhubung kedua-dua kes.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibantu polis Kontinjen Perak akan melakukan siasatan berhubung kejadian ini termasuk mengenalpasti kumpulan individu yang membawa masuk abu mayat berkenaan,”katanya.

Semalam, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

Berita berkaitan

Abu mayat Chin Peng: KDN siasat

'Mengguris hati kami' - Veteran tentera, polis

'Tak perlu rujuk sejarah, mata jadi saksi'

Polis Perak tak terima laporan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 7:01 PM