MAYAT ditemui di Sungai Kelantan berhampiran Tambatan Diraja. FOTO ihsan APM Kota Bharu
MAYAT ditemui di Sungai Kelantan berhampiran Tambatan Diraja. FOTO ihsan APM Kota Bharu
Hazira Ahmad Zaidi


“SETIAP hari mak cik buat solat hajat dan berdoa supaya anak segera ditemui dan Alhamdulillah doa mak cik dimakbulkan,” kata Rohani Mamat, 63, ibu kepada lelaki yang terjatuh di Sungai Kampung Maka Joh, Labok Machang, 14 November lalu.

Mayat Zarawi Mohamed, 35, ditemui terapung oleh orang awam yang meronda dengan bot pada jam 11.40 pagi di Tambatan Diraja iaitu pada jarak 45 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Rohani berkata, dia dimaklumkan polis mengenai penemuan mayat seorang lelaki di Sungai Kelantan dan diminta ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi proses pengecaman.

Katanya, dia dan suami, Mohamed Jaafar, 63, bersama ahli keluarga bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu.

“Ketika proses pengecaman dibuat, mak cik mengecam baju T celoreng yang selalu dipakai anak kerana tidak sanggup melihat wajahnya yang sudah membengkak selepas dua hari dia dilaporkan hilang di sungai.

“Mak cik ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang berusaha mencari arwah sejak beberapa hari lalu dan kini boleh menarik nafas lega kerana jasadnya sudah ditemui,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, jenazah anak ketiga daripada enam beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cano, Machang selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy mengesahkan mayat yang ditemui di Sungai Kelantan pagi tadi adalah arwah Zarawi yang dilaporkan hilang dua hari lalu.

“Penemuan mayat dimaklumkan orang awam kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di pangkalan marin di tepi Sungai Kelantan dan dilaporkan kepada pihak polis.

“Sehubungan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan semalam membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APM dan polis ditamatkan pada jam 4 petang tadi,” katanya.

Berita berkaitan

Lelaki dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 7:49 PM