MAYAT mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. FOTO Ihsan Bomba
Khalid Latip


KANAK-kanak lelaki yang dilaporkan terjatuh ke sungai di Jeti Sungai Binatang di Bintangor, Jumaat lalu ditemui lemas di Sungai Stubah, di Sarikei, hari ini.

Wong Khoon Yung, 12, ditemui penduduk kampung yang tinggal di rumah panjang berhampiran sungai berkenaan pada 9.05 pagi sebelum memaklumkan penemuan kepada pihak berkuasa.

Ketua Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, sejurus menerima maklumat mengenai penemuan itu, sepasukan pegawai bersama anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi.

Menurutnya, mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh di jeti Sungai Binatang berhampiran tapak pesta limau Bintangor.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat. Pengecaman ke atas mayat sudah dilakukan bapa dan rakan mangsa," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR yang dijalankan sejak petang Jumaat lalu dengan kerjasama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung ditamatkan sebaik mayat kanak-kanak itu ditemui.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Jumaat lalu, Khoon Yung dilihat terjatuh oleh orang awam yang kemudiannya bergegas untuk membantu, namun, mangsa tidak dapat diselamatkan kerana dibawa arus sungai sebelum polis yang berkawal di lokasi pesta berkenaan dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 4:35 PM