ISTERI kepada Allahyarham Mohd Zaini Harun, 38, mencium anak bongsu mereka, masih terkejut dengan apa yang berlaku. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
ISTERI kepada Allahyarham Mohd Zaini Harun, 38, mencium anak bongsu mereka, masih terkejut dengan apa yang berlaku. FOTO Siti Nadzirah Che Mud
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: "Syukur, jasadnya sudah ditemui dan kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku ini," kata Fadilah Harun, 53, kakak kepada Mohd Zaini, 38, yang lemas di Sungai Kelantan dekat Rumah Pam Kemubu KADA, di sini.

Mayat mangsa ditemui terapung dalam jarak kira-kira 150 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh ke dalam sungai, kira-kira 7.30 pagi tadi.

Fadilah berkata, jenazah adik bongsunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerawang, Machang, selepas solat Zohor.

"Dua hari dia tidak ditemui dan dalam tempoh itu kami sekeluarga menunggu penuh harap. Alhamdulillah akhirnya jasadnya timbul dan boleh dikebumikan dengan baik.

"Tumpuan kini membantu isteri dan tujuh anaknya yang masih terkejut dengan apa yang berlaku," katanya ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Mohd Zaini terjatuh ke dalam sungai ketika bot memancing dinaiki bersama dua rakan terperangkap di tengah sungai akibat air pasang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 1:13 PM