Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Mayat lelaki berpakaian lengkap tanpa identiti ditemukan terapung di Sungai Kelantan, petang tadi.

Mayat yang dianggarkan sudah lebih 24 jam terapung ditemukan jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada mayat itu milik pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan, Khairul Nizam Omar, 56, yang terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra Isnin lalu atau bukan.

"Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian dengan baju T warna hitam serta berseluar jeans biru lusuh.

"Kita tunggu hasil proses bedah siasat yang akan dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) nanti. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, kakak Khairul Nizam, Kamariati Omar, 56, ketika dihubungi berkata, sebaik menerima berita mengenai penemuan mayat seorang lelaki itu, dia dan keluarga berasa lega.

Bagaimanapun selepas proses pengecaman dilakukan ahli keluarga di lokasi mayat itu dinaikkan, Kamariati mendakwa, jasad itu bukan milik adiknya.

"Pada mulanya kami sudah berasa lega kerana menyangkakan jasad Yo ditemui kerana sudah tiga hari dia hilang namun hasil pengecaman yang dibuat, pakaian pada badan mayat itu sangat berlainan berbanding kali terakhir dilihat dipakai oleh Yo iaitu ada logo agensi JIM.

"Perasaan lega bertukar menjadi sangat kecewa kerana kami masih perlu menunggu apa nasib Yo sama ada ditemukan atau tidak, kami berserah kepada Allah.

"Bagaimanapun kami tetap akan menunggu keputusan bedah siasat dan reda menerima apa sahaja kemungkinan," katanya.

Operasi mencari. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Operasi mencari. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 9:43 PM