FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Norizuan Shamsuddin


PENGUTIP sampah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini atas pertuduhan merogol wanita mengandung tujuh bulan, Oktober lalu.

Tertuduh, Mohammad Syukri Jaafar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol wanita berusia 20 tahun di kawasan pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Chukai, pada 9 pagi 25 Oktober lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Pada 29 Oktober lalu, portal berita Harian Metro melaporkan tindakan wanita menumpang kereta lelaki tidak dikenali membawa padah apabila dia dirogol individu terbabit di kawasan pembuangan sampah.

Kejadian berlaku ketika mangsa menunggu bas di perhentian bas di kampung itu untuk ke rumah kakaknya di Kampung Gong Limau, Chukai.

Bagaimanapun, mangsa yang menunggu bas didatangi seorang lelaki memandu kereta Proton Saga yang mempelawa menaiki kenderaannya sebelum merogol mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 4:09 PM