NIK Saiful mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO IMRAN MAKHZAN
NIK Saiful mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO IMRAN MAKHZAN
Norizuan Shamsuddin


PEKERJA pelantar minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas dua pertuduhan merogol gadis berusia 16 tahun, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Nik Saiful Rusmawie Mohd Ruslan, 22, dari Chukai, Kemaman, tidak mengaku salah di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Pasir Minal, kira-kira 10 malam hingga 11.30 malam, 15 September lalu.

Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama, kira-kira 1 pagi pada 19 September lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kemaman dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa dikenalinya bersama tiga lagi rakan yang masih di bawah umur.

Ahad lalu, ketiga-tiga rakannya masing-masing berusia 15 dan 17 tahun dibenarkan diikat jamin RM3,000 seorang sementara menunggu sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 4:12 PM