Dua gajah pygmy yang dipercayai kelaparan masuk ke PPMS Sukau untuk mencari makanan Rabu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Dua gajah pygmy yang dipercayai kelaparan masuk ke PPMS Sukau untuk mencari makanan Rabu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


KEHADIRAN gajah yang semakin kerap masuk ke perkampungan dilihat sebagai kesan pembukaan hutan yang menjadi habitat haiwan itu.

Kesan penerokaan hutan itu bukan saja merosakkan ekosistem hutan tetapi juga dipercayai mengganggu bekalan makanan haiwan terbabit.

Terbaru, dua gajah pygmy yang dipercayai kelaparan tiba-tiba masuk ke Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Sukau, Kinabatangan untuk mencari makanan, Rabu lalu.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, beberapa penduduk terkejut selepas melihat kelibat dua gajah berpeleseran di hadapan rumah mereka.

Kedua-dua gajah itu dilihat berkeliaran sebelum memakan ubi kayu di penempatan berkenaan.

Penduduk Mansor Ismail, 39, berkata, dia dikejutkan isteri yang memberitahu terdapat dua ekor gajah di hadapan rumah mereka.

Katanya, gajah itu dilihat memakan tanaman ubi kayu yang ditanam jirannya.

“Ia adalah dua ekor gajah pygmy borneo jantan. Sebelum ini, jarang haiwan ini masuk ke kampung namun kini semakin kerap mencari makan di kampung kami.

“Kehadiran gajah sememangnya biasa bagi kami penduduk sini. Sejak dulu lagi kerana kampung kami selalunya menjadi laluan gajah namun tidak sekerap akhir-akhir ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mansor berkata, sebelum ini mereka kerap terserempak dengan gajah di tepi jalan raya atau lokasi tertentu.

Namun katanya, gajah itu kini kerap masuk mencari makanan di perkampungan penduduk.

Sementara itu, Pengarah Projek Seratu Aatai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan bagi menangani isu konservatif gajah di negeri itu, Dr Nurzhafarina Othman berkata, perubahan laluan gajah itu disedari kebelakangan ini.

Namun katanya, pergerakan gajah pygmy borneo itu semakin sukar diramal berikutan penerokaan hutan untuk tujuan pembangunan di Sukau.

“Haiwan dilindungi itu juga sudah tidak melalui laluan perjalanan mereka sebelum ini antaranya laluan dari kawasan Abai ke Batu Puteh, dekat sini.

“Bukan itu saja, kini gajah itu sudah tidak bergerak dalam kumpulan banyak tetapi hanya bergerak dalam kumpulan kecil,” katanya.

Selain itu, Dr Nurzhafarina berkata, sebelum ini pada masa-masa tertentu, pihaknya akan tahu lokasi kumpulan gajah berkenaan berikutan kebiasaan laluan tetap haiwan terbabit.

“Tapi kini kita sukar meramalkan lokasi kumpulan gajah ini kerana haiwan ini sudah tidak melalui laluan perjalanan sama.

“Ketika ini juga gajah kelihatan bergerak dalam kumpulan kecil antara enam hingga 10 ekor,” katanya.

Menurutnya, hasil risikan terbaru, pihaknya juga mengesan gajah hanya menyeberang sungai pada awal pagi dan malam saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 12:38 AM