PENGURUS Operasi Santuari Gajah Borneo (BES) bersama seekor daripada dua gajah Pygmy Borneo yang ditempatkan di pusat perlindungan gajah pertama di Borneo, di Kinabatangan. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM.
PENGURUS Operasi Santuari Gajah Borneo (BES) bersama seekor daripada dua gajah Pygmy Borneo yang ditempatkan di pusat perlindungan gajah pertama di Borneo, di Kinabatangan. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM.
Poliana Ronnie Sidom


KINABATANGAN: Penyelidikan perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca perubahan fizikal luar biasa ke atas gajah Pygmy Borneo terutama pertumbuhan gading.

Pendapat itu disuarakan Pengurus Operasi Santuari Gajah Borneo (BES), Jibius Dausip yang mendedahkan antara perubahan fizikal ketara termasuk gading semakin pendek, membengkok ke belakang dan fenomena terbaru yang dikesan sejak kira-kira empat tahun lalu iaitu ada gajah jantan langsung tidak memiliki gading.

Beliau berkata, berbanding sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, gading gajah yang ditemui di negeri ini boleh mencecah sehingga 1.5 meter panjang.

Selepas itu, katanya, perubahan berlaku apabila kebanyakan gajah jantan yang ditemui di Sabah hanya memiliki gading sepanjang antara 0.4 hingga 0.9 meter.

“Dulu di Kinabatangan, kami masih boleh lihat gajah jantan dengan panjang gading semua lebih satu depa dalam sesuatu kumpulan. Sekarang, dalam satu kumpulan cuma boleh jumpa satu atau dua gajah jantan dewasa, tetapi bukan dengan gading yang panjang,” katanya.

BES adalah tempat perlindungan gajah pertama di Borneo berkeluasan 25 hektar, terletak di Lot 8, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan yang dibina khusus bagi menyelamat dan merawat gajah sebelum dilepaskan semula ke hutan simpan.

GAJAH Pygmy Borneo yang ditempatkan di Santuari Gajah Borneo (BES), di Kinabatangan, perlindungan gajah pertama diwujudkan di Borneo. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM.
GAJAH Pygmy Borneo yang ditempatkan di Santuari Gajah Borneo (BES), di Kinabatangan, perlindungan gajah pertama diwujudkan di Borneo. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM.

Jibius yang berpengalaman lebih 35 tahun dalam penyelamatan hidupan liar dan 27 tahun dalam pengawalan serta penyelamatan gajah di Sabah berkata, fenomena terbaru yang berlaku ke atas gajah Pygmy Borneo kebelakangan ini lebih mengejutkan apabila ada antaranya tidak memiliki gading.

Sama ada gading gajah tidak tumbuh atau mungkin rapuh, katanya, ia memerlukan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca.

“Bagi saya, kajian ini penting mengapa gading gajah boleh berubah, semakin rapuh atau ada yang tiada gading. Ia antara kajian penting dalam usaha kita memulihara spesies gajah yang semakin pupus di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, media pernah melaporkan penemuan seekor gajah dengan gading menghala ke bawah, hampir menyerupai haiwan prasejarah, harimau gigi pedang, pada Ogos 2016.

Gajah itu ditemui Jabatan Hidupan Liar ketika membuat translokasi sekumpulan gajah dari Felda Umas, Tawau ke kawasan baharu, sebelum ditemui mati di kawasan Sungai Segama, Lahad Datu pada Januari tahun lalu, manakala gading terbabit hilang dipercayai diambil pemburu haram.

GAJAH jantan cuma mempunyai kira-kira 0.5 meter gading biarpun usianya sudah menjangkau antara 20 hingga 25 tahun dengan ketinggian hampir dua meter. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM.
GAJAH jantan cuma mempunyai kira-kira 0.5 meter gading biarpun usianya sudah menjangkau antara 20 hingga 25 tahun dengan ketinggian hampir dua meter. FOTO/POLIANA RONNIE SIDOM.

INFO GAJAH PYGMY BORNEO

• Gajah Pygmy Borneo hanya boleh ditemui di kepulauan Borneo iaitu timur Sabah dan utara Kalimantan

• Gajah paling kerdil di dunia

• Gajah Pygmy Borneo berusia enam bulan mencapai ketinggian 1.5 meter, manakala dewasa berusia lima tahun 2.4 meter

• Jangka hayat selama 70 tahun

• Terlalu sensitif kepada cuaca panas dan di Sabah, biasanya ditemui berhampiran Sungai Kinabatangan

• Gajah Pygmy Borneo adalah subspesies gajah Asia

• Memiliki telinga lebih lebar, ekor panjang dan bentuk badan lebih bulat

• Spesies Dilindungi Sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 7:50 AM