BANGKAI salah satu gajah Pygmy yang ditemui di Sukau, Kinabatangan.
BANGKAI salah satu gajah Pygmy yang ditemui di Sukau, Kinabatangan.
Hazsyah Abdul Rahman


DUA bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Sukau, Kinabatangan dan Telupid, Beluran.

Bangkai gajah betina dewasa itu ditemui di Ladang Sentosa di Sukau pada Sabtu manakala seekor lagi ditemui di Hutan Simpanan Deramakot, hari ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung penemuan dua bangkai gajah itu.

"Pasukan JHL Sabah sudah dihantar ke Sukau bagi melakukan bedah siasat ke atas bangkai gajah pertama.

"Pasukan kedua pula masih dalam perjalanan ke lokasi penemuan bangkai gajah kedua," katanya.

Agustine berkata, dia tidak mempunyai butiran lengkap mengenai kejadian ini sama ada ia dibunuh, diracun atau sebaliknya.

"Kita belum dapat memastikan sama ada dua bangkai gajah ini adalah mangsa pemburu haram atau disebabkan keracunan.

"Siasatan masih dijalankan pasukan JHL," katanya.

Dalam perkembangan sama, Augustine berkata, sebanyak tiga kes kematian gajah direkodkan termasuk seekor ditemui di Sukau, Januari lalu.

Untuk rekod, tahun lepas JHL Sabah merekodkan 25 kes kematian gajah di negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:22 PM