BERNAMA

GAJAH betina dewasa yang mati di Ladang Bagahak 1, Lahad Datu, 12 Februari lalu, dipercayai mengalami keracunan akut sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan luaran dan darah mengalir dari orifis rektum (lubung dubur), mulut dan telinga haiwan itu.

Organ gajah berumur antara 30 dan 35 tahun itu dilaporkan mengalami hepatomergali (hati membengkak) selaras dengan tanda-tanda keracunan, katanya hari ini.

Beliau berkata, anggota pasukan veterinar JHL diketuai Dr Nabila Sarkawi dari Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok (SORC) menjalankan bedah siasat terhadap bangkai gajah itu 2.30 petang semalam dan mengambil sampel untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Gajah itu dipercayai telah mati lebih 72 jam sebelum ditemukan kira-kira jam 10 pagi pada hari berkenaan oleh pihak pengurusan ladang itu, katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti sumber keracunan itu.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, penemuan terbaru itu menjadikan jumlah kematian gajah di Sabah meningkat kepada lima ekor sejak awal tahun ini.

Sebelum ini, dua bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Sukau, Kinabatangan dan Telupid, Beluran.

Bangkai gajah betina dewasa ditemui di Ladang Sentosa di Sukau pada 8 Februari manakala seekor lagi ditemui di Hutan Simpanan Deramakot, 10 Februari.

Berita berkaitan

Dua lagi gajah Pygmy Borneo mati

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:24 PM