Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“SAYA dan keluarga terpaksa menunggu hampir sebulan untuk membawa pulang jenazah kakak dan anak saudara, hari ini penantian kami berakhir apabila dibenarkan menuntut jenazah mereka.

“Sekurang-kurangnya kami berasa lega kerana identiti mereka sudah dikenal pasti dan kami mahu mengebumikan jenazah dengan secepat mungkin,” kata Mohd Noor Hashim, 43.

Mohd Noor adalah adik kepada Rosidah Hashim, 46, yang rentung selepas kereta yang dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Bahau, dekat Mengkuang, Bera, pada 20 Ogos lalu.

Kemalangan itu turut menyebabkan suaminya yang juga warga Pakistan, Sher Zaman Khan, 35, serta anak Rosidah, Abdillah Nila, 17, rentung.

Mohd Noor berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa Rosidah selepas dimaklumkan kakak sulungnya, Mastura Hashim, 51, selepas melihat berita mengenai kemalangan itu di televisyen dua hari selepas kejadian itu.

Dia kemudiannya datang ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh, bersama anak Rosidah untuk membuat pengecaman.

“Walaupun keadaan jenazah agak teruk kerana sudah rentung, namun naluri saya kuat mengatakan bahawa jenazah itu adalah kakak dan anak saudara saya.

“Bagaimanapun, saya dan keluarga sepakat untuk melakukan ujian DNA (deoksiribonukleik) bagi memastikan identiti jenazah itu untuk mengelakkan timbulnya masalah di kemudian hari,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HoSHAS, hari ini.

MASTURA tidak dapat menahan kesedihan ditemui di lobi Unit Forensik, HOSAS. FOTO Farizul Hafiz Awang
MASTURA tidak dapat menahan kesedihan ditemui di lobi Unit Forensik, HOSAS. FOTO Farizul Hafiz Awang

Difahamkan Rosidah dan Sher Zaman baru berkahwin kira-kira tiga bulan lalu.

Polis sebelum ini berdepan kesukaran untuk mengenal pasti identiti tiga mangsa yang rentung berikutan tiada waris yang hadir menuntut mayat sejurus kejadian berlaku.

Malah, semakan yang dilakukan terhadap nombor pendaftaran kereta berkenaan mendapati pemiliknya tinggal di Banting, Selangor namun sudah menjual kereta itu kepada orang lain.

Sementara itu, Mastura berkata, pada hari kejadian Rosidah yang tinggal di Jerantut sepatutnya datang ke rumahnya di Kempas, Johor untuk melawat anak bongsunya, Hafizah Nila, 8, yang dijaga Mastura.

“Saya hairan kerana Rosidah tidak sampai-sampai, saya cuba menghubungi nombornya dan juga Abdillah namun tidak berjaya, saya menyangka mungkin Rosidah tidak jadi ke rumah saya.

“Namun dua hari kemudian saya berasa tidak sedap hati apabila melihat berita mengenai kejadian itu, saya mengecam ‘spoiler’ dan rim tayar kereta yang terbabit dalam kemalangan itu... luluh hati saya sebaik mengetahui kereta itu adalah milik adik ipar saya,” katanya.

Jenazah Rosidah dan Abdillah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif, Kempas manakala jenazah Sher Zaman akan dibawa pulang ke kampungnya di Buner, Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 4:07 PM
Jenazah seorang daripada tiga beranak yang maut pada 20 Ogos lalu dituntut keluarga. FOTO Farizul Hafiz Awang
Jenazah seorang daripada tiga beranak yang maut pada 20 Ogos lalu dituntut keluarga. FOTO Farizul Hafiz Awang