KHIDMAT anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digunakan untuk mencari bukti bagi membantu siasatan kejadian kebakaran rumah di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Langkawi yang mengorbankan nyawa tiga beranak. FOTO Hamzah Osman
KHIDMAT anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digunakan untuk mencari bukti bagi membantu siasatan kejadian kebakaran rumah di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Langkawi yang mengorbankan nyawa tiga beranak. FOTO Hamzah Osman
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA lihat wajah adik seperti menahan sakit, sedih sangat... saya tak tahan tengok," kata Nur Syafanis Mohd Nahar, anak sulung kepada suami isteri dan anak bongsu mereka yang maut dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Langkawi, semalam.

Nur Syafanis, 20, penuntut semester dua Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kubang Badak, Terengganu itu ditemani adiknya, Nur Syafinas, 18, membuat pengecaman mayat ibu bapa dan adiknya, Muhd Naufal Mohd Nahar, 6 di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar, hari ini.

Dua adiknya, Nur Syafina, 18, (kembar Nur Syafinas) dan Nur Saleha, 11, turut berada di perkarangan rumah mayat hospital untuk menuntut jenazah selepas selesai dibedah siasat.

Katanya, dia dapat mengecam mayat ibunya, Nor Suhaila Hamat, 41, kerana masih sempurna manakala Naufal pula dicam melalui bulu matanya yang lentik manakala mayat bapanya, Mohd Nahar Suhami, 39, tidak dapat dicam langsung kerana rentung dalam kejadian itu.

"Patutlah adik tak bagi saya balik ke Terengganu pada 24 Mac lalu sewaktu menghantar saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana saya sangat rapat dengannya.

"Ketika itu saya dihantar abah dan Naufal, manakala mama pula berada di rumah tetapi sepanjang saya bercuti selama dua minggu di rumah di Langkawi, saya banyak meluangkan masa bersama keluarga dan itulah kenangan yang tak dapat saya lupakan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HSB, hari ini.

NUR Syafani Mohd Nahar, 20, (kiri) bersama tiga adiknya, Nur Shafinas, 18, Nur Saleha, 11, dan Nur Syafina, 18, di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk melakukan pengecaman mayat ibu bapa dan adik mereka yang terbabit dalam kebakaran di Langkawi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NUR Syafani Mohd Nahar, 20, (kiri) bersama tiga adiknya, Nur Shafinas, 18, Nur Saleha, 11, dan Nur Syafina, 18, di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk melakukan pengecaman mayat ibu bapa dan adik mereka yang terbabit dalam kebakaran di Langkawi. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Nur Syafanis berkata, dia dimaklumkan kejadian yang menimpa ibu bapa dan adik bongsunya kira-kira 10 pagi semalam ketika sedang mengikuti kelas di UniSZA dan terkejut menerima panggilan bertalu-talu dari ibu dan bapa saudaranya di Perlis dan Langkawi.

Katanya, ketika itu dia mematikan bunyi telefon bimbit dan mengesyaki sesuatu buruk berlaku kerana sebelum ini tiada sesiapa pernah menghubunginya pada waktu pagi kerana tidak mahu mengganggu pengajiannya.

"Saya tak sedap hati ketika itu dan menjawab panggilan dari ibu saudara yang meminta saya pulang segera ke Langkawi tetapi tak dimaklumkan apa yang berlaku ketika itu.

"Waktu itu saya terus mencari tiket penerbangan untuk pulang ke Langkawi dari Terengganu tetapi dimaklumkan tiket hanya ada pada 1 tengah hari tetapi perlu melalui transit dari Terengganu ke Kuala Lumpur sebelum terus ke Langkawi," katanya.

Nur Syafanis berkata, ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang, dia dihubungi ahli keluarga yang memaklumkan ibu bapa dan adiknya meninggal dunia dalam kebakaran menyebabkan dia menangis sepanjang menunggu untuk pulang ke Langkawi.

Katanya, kali terakhir dia membalas WhatsApp ibunya pada malam Sabtu lalu dan ibunya bertanyakan mengenai pelajaran dan kesihatannya semasa berada di sana.

"Abah ada juga menghubungi saya ketika itu tetapi mereka berdua tidak banyak menunjukkan perubahan, malah saya sempat berbual dengan Naufal di telefon, Sabtu lalu.

"Pada hari saya balik ke Terengganu, abah nak sangat bergambar dengan saya dan ketika itu saya sedang bersiap. Abah kata; ‘Ya Allah, cantiknya kakak’, dan dia suruh Naufal ambil gambar kami berdua untuk kenangan tetapi saya tak sempat minta gambar itu dari telefon bimbit abah," katanya.

Nur Syafanis berkata, arwah ibunya juga pernah berpesan kepadanya sebelum ini, sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, tolong jaga adik-adik dengan baik dan kini dia terpaksa menggalas tanggungjawab itu.

Katanya, dia bercadang membawa adik-adiknya tinggal bersama datuknya, Hamat Noor, 70-an di Chuping, Perlis memandangkan jenazah ibu bapa dan adiknya akan dikebumikan di sana.

"Saya cuba kuat demi adik-adik kerana Nur Saleha nampak masih terkejut dengan kejadian tetapi sebagai kakak sulung, saya akan cuba memujuknya untuk terima apa yang berlaku.

"Nak balik ke rumah di Langkawi pun rasa sayu kerana saya rasa semua ini bagaikan mimpi hinggakan semalam nak tidur pun seperti terngiang suara Naufal. Kami pasti akan merinduinya," katanya.

Sehingga kini, jenazah tiga beranak itu masih berada di Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat dilakukan.

Dalam kejadian 7 pagi semalam, mayat tiga beranak itu masing-masing ditemui di ruang tamu dan bilik air di rumah di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Langkawi dalam keadaan menyayat hati dalam kejadian kebakaran.

Berita berkaitan

[UPDATE] Anak sahkan identiti ibu, adik bongsu

[UPDATE] Siasat sama ada wujud unsur khianat

Mayat isteri dalam keadaan bersujud

[UPDATE] Mangsa kebakaran disahkan tiga beranak [METROTV]

Lelaki rentung, rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 3:04 PM