Balqis Jazimah Zahari


Kuala Kangsar: Kerajaan negeri menanggung semua keperluan pengurusan jenazah lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) yang maut dalam insiden kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua treler di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohammed Daud berkata, ia termasuk penginapan untuk keluarga, makan dan minum mereka sepanjang pengurusan jenazah yang akan diuruskan sepenuhnya kerajaan negeri bersama Usas.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya menunggu keputusan daripada ahli keluarga berhubung pengurusan jenazah kelima-lima mangsa itu.

"Kerajaan negeri dan juga Usas berharap jenazah dapat diuruskan di sini sebelum proses membawa pulang jenazah untuk pengebumian berhampiran keluarga masing-masing.

"Proses membawa pulang jenazah termasuk kos van juga ditanggung oleh kerajaan negeri dan Usas," " katanya ketika melawat keluarga pada proses bedah siasat mangsa di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Ketika lawatan itu, Ahmad Saidi sempat berbual dengan ahli keluarga mangsa sejurus tiba di Unit Forensik berkenaan dan memaklumkan, keluarga sudah mengecam serta mengesahkan jenazah anak mereka melalui barang peribadi yang ditemuikan pada mangsa kemalangan terbabit.

"Keluarga dalam keadaan sugul, tetapi sangat tenang menerima ketentuan ini dengan seadanya.

AHLI keluarga mangsa kemalangan yang hadir di Jabatan forensik Hospital Kuala Kangsar. FOTO L Manimaran
AHLI keluarga mangsa kemalangan yang hadir di Jabatan forensik Hospital Kuala Kangsar. FOTO L Manimaran

"Namun, keluarga menzahirkan kesedihan yang tidak terhingga memandangkan kedua-dua anak ini baru sahaja pulang Isnin lalu daripada bertemu keluarga selepas meraikan sambutan Aidilfitri," katanya.

Terdahulu, nahas tiga kenderaan mengakibatkan lima individu rentung di Kilometer (KM) 246, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, tengah malam tadi, dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan jalan.

Semua mangsa yang rentung adalah berusia antara 19 hingga 23 tahun dan penuntut Usas, iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 3:31 PM