V NILA (depan) bersama ibu bapa angkat, Abdul Sharip (kiri) dan isterinya, Nur Aina serta Yee Jee Kwong (kanan) ketika hadir di Pejabat Kebajikan Masyakat Daerah Muallim. FOTO Ihsan pembaca
V NILA (depan) bersama ibu bapa angkat, Abdul Sharip (kiri) dan isterinya, Nur Aina serta Yee Jee Kwong (kanan) ketika hadir di Pejabat Kebajikan Masyakat Daerah Muallim. FOTO Ihsan pembaca
Rosman Shamsudin

Trolak: "Saya bimbang masa depan anak angkat kerana sehingga kini belum mempunyai MyKid selepas usaha mencari ibu bapa kandungnya buntu," kata Abdul Sharip Abdul Kadir, 45.

Kanak-kanak perempuan, V Nila, 4, diserahkan kepada Abdul Sharip dan isteri Nur Aina Abdullah, 40, pada 2018 selepas dilahirkan di Hospital Slim River.

Abdul Sharip berkata, isterinya dihubungi oleh salah seorang pekerja pembersihan di hospital berkenaan selepas ibu bapa sebenar Nila yang dikenali M Vignes dan isterinya, S Loshana Thevi sedang mencari keluarga angkat kerana tidak mampu membesarkan Nila akibat kesempitan hidup.

"Sewaktu itu, saya sudah mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun dan kebetulan isteri yang juga seorang mualaf inginkan seorang anak perempuan.

"Saya dan isteri pergi ke hospital untuk bertemu dengan pasangan terbabit yang bersetuju menyerahkan anak mereka bagi dijadikan anak angkat," katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Sejak itu, Nila dijaga dan dibesarkan oleh keluarga angkat dengan penuh kasih sayang oleh pasangan berkenaan walaupun berlainan bangsa dan agama.

Namun, disebabkan kekurangan dokumen menyebabkan masa depan Nila menjadi kelam kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri iaitu MyKid bagi menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Abdul Sharip berkata, dia dan isterinya sudah berusaha mencari ibu bapa kandung Nila, namun sehingga kini menemui jalan buntu.

Menurutnya, alamat terakhir ibu bapa Nila ialah di Kampung Hassan, Hulu Bernam ,Selangor dan bapa Nila difahamkan pernah berkerja sebagai pengawal keselamatan di Tanjung Malim, Perak manakala ibu Nila pula suri rumah serta mempunyai seorang anak lelaki.

"Saya bimbang masa depan Nila yang tidak mempunyai MyKid terutama untuk mendaftarkan persekolahannya nanti.

"Justeru, saya memohon ibu bapa Nila tampil berjumpa saya untuk memudahkan urusan membuat MyKid demi masa depan Nila yang belum mengerti kehidupan sebenar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak, Yee Jee Kwong, 66, berkata dia sudah membawa pasangan terbabit bersama Nila ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Muallim untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dia berharap ibu bapa kandung Nila dapat meluangkan masa berjumpa dengan pasangan berkenaan untuk urusan dokuementasi kanak-kanak terbabit.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Muallim di talian 05-4529644 bagi membantu pasangan terbabit dan Nila," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 3:20 PM