Petugas PROLINTAS mengedarkan topeng muka kepada penunggang motosikal di LKSA berikutan jerebu melanda sekitar Lembah Klang hari ini. Foto Osman Adnan
Petugas PROLINTAS mengedarkan topeng muka kepada penunggang motosikal di LKSA berikutan jerebu melanda sekitar Lembah Klang hari ini. Foto Osman Adnan
Rosyahaida Abdullah


KUMPULAN Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) edar sebanyak 3,500 topeng muka secara percuma kepada pengguna lebuh raya rangkaian syarikat itu susulan tahap jerebu dan kualiti udara yang semakin menurun khususnya di Lembah Klang hari ini.

Agihan itu dibuat di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

Menurut kenyataan Ketua Pegawai Operasi (Projek dan Operasi) PROLINTAS Ir Rostam Shahrif Tami hari ini, sebahagian topeng muka turut diedar kepada pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang yang terletak berhampiran Lebuhraya AKLEH.

Katanya, inisiatif terbabit sudah bermula sejak Khamis lalu di AKLEH dan GCE sebelum berakhir hari ini di LKSA dan SILK.

“Ini antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PROLINTAS yang merangkumi pelbagai aspek seperti pendidikan, penjagaan alam sekitar dan pembangunan insaniah sepanjang tahun.

“Diharapkan ia dapat mengurangkan risiko pencemaran udara sekali gus menyumbang tahap kesihatan yang baik kepada pengguna lebuh raya terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 11:37 PM